Total Pageviews

Thursday, 3 November 2011

Hari Raya Aidil Adha (Korban)



Korban (Ibrani: קָרְבָּן) atau qurban (Arab: قربان) ialah menyembelih binatang tertentu pada Hari Raya Aidiladha atau hari tasyriq dengan tujuan untuk mendampingkan diri kepada Allah S.W.T.. Binatang yang dibolehkan qurban ialah unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri (kibas).
Ibadah ini adalah sempena mengingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya.

Dalam satu riwayat daripada Aisyah, disebutkan bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Tidaklah keturunan Adam melakukan suatu perbuatan pada hari nahr yang lebih dicintai Allah selain mengalirkan darah (menyembelih haiwan korban). Haiwan sembelihan itu akan datang pada hari Kiamat membawa tanduknya, kukunya, dan bulunya. Sesungguhnya darah haiwan sembelihan itu sampai kepada Allah lebih dahulu daripada sampai ke tanah. Maka sucikanlah diri kamu dengannya.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tarmizi).

Al-Allamah Al-Manawi berkata, maksud hadis tersebut adalah bahawa ibadah yang paling utama pada hari itu adalah mengalirkan darah (menyembelih haiwan korban), dan bahawa pada hari Kiamat kelak korban itu akan datang sebagaimana adanya ia di dunia, tidak berkurang sedikit pun. Dan orang yang melakukan korban itu akan diberi pahala dari setiap anggota tubuh haiwan korbannya itu.

Manusia berkewajipan mendekatkan diri kepada-Nya. Maka, salah satu caranya adalah dengan berkorban. Oleh yang demikian itu, maka sewajarnya kita menginsafi kembali akan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: ”Barang siapa yang mempunyai keluasan rezeki, lalu tidak berkorban, maka janganlah mendekati tempat solat kami.” (Riwayat Ibnu Majah)

Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah daripada Zaid bin Arqam, pernah seorang sahabat bertanya kepada baginda:
‘‘Wahai Rasulullah, apakah erti korban ini?” tanya sahabat.
‘‘Itulah sunnah daripada datukmu Ibrahim,” jawab Rasulullah.
“Apakah keuntungan korban itu untuk kita?” tanya sahabat itu lagi.
‘‘Setiap helai bulu haiwan korban itu merupakan satu kebaikan (hasanah),” jawab Rasulullah.